Pendidikan,Pertanian seiring...

Memaparkan catatan dengan label pembenihan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pembenihan. Papar semua catatan

Jumaat, 21 November 2008

Projek Type C:bajet tapi lumayan

hehe..ni aku amik dari website lumbricus

menarik gak cara dorang buat rak..pro betull.simple tapi praktikal..aku terpikir neh sebab tgk dorang guna buluh..tepi rumah aku pun ada buluh..hehe..projek apa nie?hehe..korang fikir la sendiri..agak-agak apa aku nak buat?

Jumaat, 22 Jun 2007

Pembenihan Udang Galah (Macrobrachium rosenbergii)

Pembenihan Udang Galah (Macrobrachium rosenbergii)

Bahan-bahan
a. Tangki induk
b. Tangki asuhan
c. Artemia
d. Kastad telur
e. Botol yang telah dipotong tapaknya.
f. Jaring
g. Tali

Pembiakan secara semulajadi

Pembenihan Udang Galah (Macrobrachium rosenbergii) dilakukan secara pembiakan secara semulajadi. Ia dilakukan dengan cara meletakkan induk jantan dan betina dalam satu tangki simen dengan nisbah 1:2. Induk jantan boleh dikenalpasti dengan penyepit yang lebih panjang dan kebiruan. Terdapat juga penyepit kecil di antara kaki-kaki di badannya. Apabila induk betina yang matang telah menghasilkan telur berwarna kuning jingga, induk tersebut diasingkan dan diletakkan di bawah pengawasan.





Penyediaan dan cara kerja

Induk betina yang mempunyai telur berwarna jingga-coklat akan ditangkap dan dimasukkan ke dalam botol yang mempunyai jaring di hujungnya. Botol ini kemudiannya akan dimasukkan ke dalam tangki simen berukuran 4 x 4 x 1.5 meter dan diberi pengudaraan secukupnya. Botol tersebut diikat dengan tali di hujungnya untuk memudahkan proses pemberian makanan kepada induk. Saliniti untuk tangki pembiakan ini ialah antara 15-20 ppt. Saliniti akan diukur menggunakan refraktometer(Hanna Instrument). Setiap hari induk akan diberi makan sama ada hati ayam atau kastad telur untuk memastikan ia mendapat protein yang mencukupi untuk menghasilkan benih yang berkualiti. Induk akan diperiksa setiap hari untuk memastikan ia sudah melepaskan telurnya.
Apabila induk betina telah melepaskan telurnya, ia akan diangkat dan dimasukkan kembali ke dalam tangki induk. Selepas 3 hari, rega udang galah akan diberi makan nauplii artemia yang secukupnya. Jumlah artemia yang diberi adalah berdasarkan anggaran. Artemia akan diberi di waktu pagi dan petang. Pada peringkat ini, saliniti air dikekalkan pada 17 ppt. Jumlah artemia yang diberi dipastikan mencukupi dengan memeriksa rega udang galah. Jika artemia yang diberi adalah mencukupi, rega udang galah akan berwarna kemerahan di dalam kepalanya. Jika ia tidak mencukupi,rega udang galah akan berwarna lutsinar.
Selepas 2 minggu, proses penukaran makanan akan dilakukan dengan menukarkan artemia dengan kastad telur. Pada waktu ini, artemia akan diberi di waktu pagi dan kastad telur diberi di waktu petang. Selepas 3 hari, kastad telur diberi sepenuhnya di waktu pagi dan petang. Selepas 30 hari, rega udang galah akan bertukar menjadi pasca larva(post larvae,PL). Ini dapat dikenal pasti apabila anak udang ini berenang ke hadapan dan suka melekat di dinding tangki asuhan. Apabila sudah sampai ke peringkat ini, saliniti air akan diubah kepada 0 ppt secara berperingkat-peringkat untuk mengelakkan kejutan kepada anak-anak udang.

Perbincangan

Pengurusan udang galah adalah kritikal pada peringkat pengurusan larva kerana benih udang yang sensitif kepada persekitaran, saliniti, pemakanan dan kanibalisme. Seekor induk mungkin menghasilkan beribu-ribu anak benih tetapi jika pengurusan anak benih adalah teruk, hasil yang diperolehi akan mengecewakan. Induk yang dikurung di dalam botol ini didapati agak stress kerana berada dalam tempat yang kecil dan tidak selesa.Kaedah pemerikasaan secara harian juga mendapati 2 ekor induk yang dikurung bersama akan memakan rakannya jika makanan yang diberikan tidak mencukupi.

Kesimpulan

Jumlah anak benih yang mencapai peringkat PL atau pasca larva adalah sedikit berbanding jumlah semasa mula-mula ia menetas. Ini mungkin disebabkan oleh makanan yang tidak mencukupi, kualiti air yang tidak menentu dan persekitaran yang mendedahkannya kepada penyakit dan tekanan.

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB DI ATAS SEBARANG KERUGIAN YANG DI ALAMI DISEBABKAN OLEH PENGGUNAAN MAKLUMAT DI LAMAN INI. SAYA HANYA BERKONGSI ILMU YANG ADA

Khamis, 21 Jun 2007

Pembenihan Ikan Tilapia (Oreochromis sp.)

Pembenihan Ikan Tilapia (Oreochromis sp.)
Bahan-bahan Rajah 3:
a) Batu-bata Tangki
b) Tangki 1 tan Pembiakan
c) Pengudaraan Tilapia
d) Kanular atau kateter
e) Tilapia starter pellet.

Pembiakan secara semulajadi

Pembiakan secara semulajadi diadaptasi kerana faktor ikan tilapia sudah dibuktikan mampu dibiakkan dalam kurungan. Teknik ini juga mampu menghasilkan benih yang banyak berdasarkan kepada kematangan induk dan kesesuaian persekitaran.

Penyediaan dan cara kerja

Sarang tilapia akan disediakan terlebih dahulu dengan menyusun batu-bata ke dalam tangki yang telah disediakan. Jumlah sarang yang dibina adalah berdasarkan jumlah induk jantan yang dimasukkan ke dalam tangki pembiakan.(Nisbah induk 3 betina:1 jantan). Dalam proses ini 5 induk jantan dan 15 induk betina telah dimasukkan ke dalam setiap tangki pembiakan. Ikan tilapia akan mula bertelur selepas air betukar menjadi hijau. Penutup boleh digunakan untuk mengurangkan pendedahan cahaya ke dalam tangki. Induk akan diberi makan Tilapia starter pellet untuk memastikan sumber protein yang tinggi mencukupi untuk proses pembiakan. Induk akan diberi makan setiap hari dan diberi pengudaraan untuk memastikan parameter air berada pada tahap optimum. Larva ikan yang berenang di permukaan akan ditangkap setiap hari dan diletakkan di dalam tangki asuhan. Telur ikan juga boleh dikeluarkan daripada mulut induk dan dilakukan proses pengeraman(incubating). Larva akan diberi makan Moina untuk 3 hari pertama dan pellet hancur untuk hari seterusnya.

Perbincangan

Induk betina ditentukan dengan ketiadaan warna dan corak pada sirip anal dan abdomen yang besar. Induk jantan pula ditentukan dengan adanya corak dan warna pada sirip anal. Cara penentuan jantina ini kebanyaknya betul pada tilapia hibrid tetapi menimbulkan masalah kepada spesies tilapia eksotik yang mempunyai warna dan corak yang menarik pada betina.

Kesimpulan
Proses pembiakan secara semulajadi bukan sahaja murah tetapi berkesan. Ini kerana ikan tilapia telah lama dibuktikan dapat membiak dalam kurungan dengan baik. Penggunaan hormon dalam proses ini tidak diperlukan dan hanya induk yang matang dan sihat sahaja diperlukan. Kaedah ini baik tetapi perlu dilakukan pengeraman di luar untuk penetasan yang lebih sekata dan memudahkan pengurusan larva.


KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB DI ATAS SEBARANG KERUGIAN YG DIALAMI AKIBAT PENGGUNAAN MAKLUMAT DI LAMAN INI

Pembenihan Ikan Keli Afrika (Clarias gariepinus)

Bahan-bahan
i. Induk yang telah matang
ii. Hormon peransang (Ovatide dan Ovaprim)
iii. Tangki Induk
iv. Tangki pengeraman
v. Pengudaraan
vi. Substrat pelekatan telur
vii. Bulu ayam
viii. Mangkuk bersih
ix. Air suling
x. Kain kasa
xi. Kanular


Kaedah persenyawaan kering

Kaedah persenyawaan kering ini digunakan untuk menyelaraskan masa peneluran dan penetasan yang dapat memudahkankan kerja pengurusan larva dilakukan.Kelemahan teknik ini adalah harga hormon yang mahal akibat daripada penggunaan dos hormon yang tinggi. Induk jantan juga terpaksa dibunuh dalam proses untuk mendapatkan testisnya. Sebagai penyelesaian, penggunaan hormon peransang Ovatide digunakan kerana harga yang lebih murah dan penggunaan dos yang lebih rendah.
3.1.2.1 Penyediaan dan cara kerja

Induk-induk yang matang dipilih di waktu petang daripada tangki induk. Induk akan ditmbang dan diberi dos hormon secukupnya.(Ovaprim: 0.25mg/kg bagi induk jantan,0.5mg/kg bagi induk betina. Ovatide: 0.1mg/kg bagi induk jantan, 0.2mg/kg bagi induk betina) pada pukul 9.00 malam. Selepas 12 jam, induk betina akan dilirit telurnya ke dalam mangkuk yang telah disediakan. Telur yang matang ialah telur yang mempunyai warna coklat kehijauan dan saiz serta bentuk yang sekata. Induk jantan akan dibedah dan dikeluarkan testisnya. Testis yang baik mempunyai saiz yang besar serta berwarna putih. Testis akan dipotong halus dan air mani akan dibiarkan bercampur dengan telur. Testis akan dipotong di atas kain kasa dan selepas selesai dipotong kain kasa akan diperah dan air suling digunakan untuk mencuci sisa air mani supaya mengalir ke dalam telur ikan dan tiada pembaziran berlaku.
Telur akan digaul bersama dengan menggunakan bulu ayam yang telah dicuci mengikut satu arah pusingan supaya ia sekata dan tidak rosak. Telur-telur akan ditabur ke dalam tangki pengeraman yang mempunyai substrat pelekatan telur atau tidak dengan menggunakan bulu ayam. Telur-telur akan diberi pengudaraan dan dibiarkan selama 24 jam. Selepas menetas, telur yang tidak menetas akan dialihkan dan air akan ditukar sebanyak 50% untuk mengekalkan kualiti air dan mengelakkan pembiakan penyakit. Larva akan diberi makan moina 3 hari selepas menetas dan Daphnia selepas 2 minggu.



Kaedah persenyawaan secara semulajadi
Dalam kaedah ini,masa peneluran cuma dapat dijangka dan tidak dapat dipastikan. Jika suhu air kurang dari 280C, induk akan bertelur selepas 12 jam. Jika suhu air melebihi 280C, Induk akan bertelur selepas 10 jam. Dalam kaedah ini induk jantan tidak akan dibunuh dan hormon peransang Ovatide disyorkan digunakan kerana keberkesanannya dan penggunaan dos yang rendah berbanding Ovaprim.

Penyediaan dan cara kerja

Induk yang matang akan dipilih pada waktu petang. Induk akan ditimbang dan disuntik dengan hormon secukupnya.(Ovatide: 0.1mg/kg bagi induk jantan,0.2mg/kg bagi induk betina.) pada pukul 9 malam. Induk akan dibiarkan selama 12 jam maksimum untuk menghasilkan telur. Telur yang telah disenyawa akan dikeluarkan dan diletakkan dalam tangki pengeraman yang tidak mempunyai substrat pelekatan telur kerana keadaan telur yang telah sedia melekit dan melekat antara satu sama lain. Selepas 24 jam telur-telur akan menetas jika tiada gangguan persekitaran terutamanya suhu dan pH. Larva akan diberi makan Moina 3 hari selepas menetas dan Daphnia selepas 2 minggu.





Perbincangan

Penggunaan Ovatide dapat menjimatkan kos sebanyak 50% berbanding ovaprim kerana dos yang digunakan adalah separuh dari dos Ovaprim. Harga kedua-dua bahan ini adalah hampir sama dan langkah ini dapat mengurangkan kos hormon. Hormon disuntik di waktu malam untuk mengurangkan stress kepada induk. Induk betina yang matang mempunyai abdomen yang besar dan lembut. Genital papilae mestilah panjang dan berwarna kemerah-merahan.

Kesimpulan

Kebanyakan pembenihan ini gagal kerana masalah tangki penetasan yang terdedah kepada pengaruh cuaca. Jika hujan,kebanyakan pembenihan akan gagal dan tidak menetas. Kekurangan teknik yang betul juga menyukarkan pembenihan pada pertama kali, tetapi ia telah dapat diatasi untuk pembenihan yang berikutnya. Induk yang benar-benar matang akan menghasilkan benih yang berkualiti dan tahan lasak.


KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB DI ATAS KERUGIAN YANG DIALAMI AKIBAT PENGGUNAAN MAKLUMAT DARI LAMAN INI