Pendidikan,Pertanian seiring...

Isnin, 17 September 2007

Malaysia-Thai bakal jadi hab halal

BANGKOK 16 Sept. – Selatan Thailand dan bahagian utara Semenanjung Malaysia boleh berpadu tenaga untuk mewujudkan persekitaran perniagaan halal antarabangsa yang berdaya maju dalam situasi yang memberi faedah kepada kedua-dua belah pihak.

Selatan Thailand boleh menjadi sumber bahan asas mentah, manakala negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia boleh menyediakan kemampuan dan kepakaran dalam sektor pembuatan, satu gabungan yang boleh merangsang asas perindustrian yang kukuh untuk produk dan perkhidmatan halal.

Ini dilihat dalam konteks Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang lebih besar, yang boleh bertindak sebagai pemacu dan pengguna sektor perniagaan halal, disebabkan oleh gabungan besar penduduknya yang beragama Islam.

Dalam konteks ini, pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Malaysia, yang terdiri daripada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak utara, boleh menjadi jentera pertumbuhan untuk sektor halal IMT-GT, memandangkan Perlis diperuntukkan sebagai pusat logistik halal dalam NCER.

Ini merupakan gambaran yang diperoleh oleh delegasi Malaysia susulan lawatan muhibah ke Bangkok minggu ini bagi mengukuhkan kerjasama dua hala dalam sektor halal.

“Kami telah mendapat gambaran yang lebih baik mengenai peluang yang ada di Thailand daripada segi pelaburan,” kata Pengerusi Forum Halal Dunia, Khairy Jamaluddin kepada Bernama.

Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO mengetuai 32 anggota delegasi yang termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal, Datuk Jamil Bidin.

“Kita boleh mendapatkan sumber bahan mentah terutamanya ternakan dari selatan Thailand, manakala Malaysia boleh menawarkan kepakaran dalam pemprosesan dan pembungkusan.

‘‘Ia membabitkan rangkaian bekalan dari pengeluar awal hingga pengguna akhir,” katanya.

Ahli perniagaan Thailand juga meninjau bagaimana taman halal dibina dan diuruskan, terutamanya di NCER seperti Perlis serta pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Timur, dan melihat bagaimana mereka boleh membekalkan bahan untuk produk makanan halal yang dibuat di taman-taman halal ini, katanya.

Dengan membawa pembangunan ekonomi ke kawasan selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam merupakan antara cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa lawatannya ke Thailand sebagai satu daripada cara meningkatkan aktiviti ekonomi di wilayah berkenaan dan dapat mengurangkan ketegangan keselamatan di kawasan berkenaan.

Khairy berkata: “Kami meninjau cara-cara untuk bekerja bersama di selatan Thailand. Kami percaya sekiranya kami membawa beberapa pelaburan ke kawasan ini, ia akan membantu menyelesaikan beberapa masalah di sana.

“Saya juga percaya IMT-GT merupakan konsep yang baik untuk sektor halal, kerana tiga kawasan ini iaitu selatan Thailand, utara Semenanjung Malaysia dan utara Sumatera di Indonesia, mempunyai jumlah penduduk Islam yang besar yang memerlukan banyak produk halal,” katanya.

IMT-GT, diwujudkan sebagai rangkaian ekonomi, mengandungi Sumatera Utara dan Acheh di Indonesia; Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak di Malaysia; serta Satun, Narathiwat, Yala, Songkhla dan Pattani di Thailand, dengan jumlah penduduk kira-kira 20.5 juta orang.

Sementara itu, Pengarah WHF Nordin Abdullah berkata NCER, satu daripada pemacu utama dalam pertanian, juga diiktiraf sebagai kawasan utama IMT-GT.

“Sebaik-baik sahaja aktiviti ekonomi di Koridor Utara bermula, ia akan mewujudkan faedah yang besar atau kesan limpahan yang banyak untuk setiap orang di kawasan itu dan industri makanan halal akan memainkan peranan penting di dalamnya,” jelas beliau.

Semasa kunjungan ke Bangkok, delegasi, yang terdiri daripada wakil bukan hanya agensi kerajaan tetapi juga sektor swasta, melawat Pusat Sains Halal di Universiti Chulalongkorn di sini dan menemui Timbalan Menteri Industri Piyabut Cholvijarn dan Timbalan Menteri Luar Sawanit Kongsiri.

Malaysia kini secara agresif mempromosikan dirinya sebagai hab halal dunia, manakala Thailand berminat untuk menjadi hab bagi industri halal daripada segi perkhidmatan seperti hospital, restoran dna pelancongan.

– Bernama

Tiada ulasan: