Pendidikan,Pertanian seiring...

Isnin, 17 September 2007

Tanda harga RM6, jual RM7 sekilogram

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Sekumpulan peniaga di pasar Sungai Besi di sini dikesan menjual ayam melebihi harga siling RM6 sekilogram dengan berselindung di sebalik tanda harga.

Tinjauan Bernama di pasar itu mendapati peniaga sengaja memaparkan tanda harga ayam RM6 sekilogram untuk menunjukkan mereka mematuhi arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP), tetapi sebenarnya menjual dengan harga RM7 sekilogram.

“Kami tak takut disaman sebab kami di pihak yang benar, yang salah adalah pembekal yang menjual ayam kepada kami dengan harga yang tinggi,” kata seorang peniaga, Mohd Shahrul Nizam Mohd Nordin, 24, sambil menunjukkan resit pembelian daripada pembekal ayam.

Mohd. Shahrul Nizam yang telah lapan tahun berniaga berkata, mereka bersepakat menjual harga ayam RM7 sekilogram walaupun ia melebihi had harga siling disebabkan tindakan pemborong.

Rakannya, Mohd Zamhor Mohd Ghaus, 37, berkata, beliau dan rakan-rakannya terpaksa menaikkan harga ayam kerana pembekal menjual kepada mereka pada harga yang melebihi harga siling sejak seminggu lepas.

“Pemborong jual kepada kami antara RM5.80 dan RM5.90 sekilogram jadi, kami terpaksalah jual RM7. Rugilah kami kalau jual murah daripada itu,” katanya yang berniaga di pasar Sungai Besi selama 19 tahun.

Bagaimanapun, katanya mereka masih memberikan diskaun kepada pembeli yang meminta harga itu dikurangkan sedikit apabila membeli melebihi dua ekor ayam.

Ditanya mengenai pemeriksaan oleh penguat kuasa KPDNHEP, peniaga itu berkata, tiada pemeriksaan yang dibuat, hanya wartawan yang datang membuat tinjauan.

Suri rumah Esah Zainal, 63, mahu pemantauan dibuat bagi mengelakkan peniaga menaikkan harga.

“Kalau kementerian buat rondaan macam di pasar Chow Kit, mesti peniaga dah tak berani jual ayam dengan harga yang tinggi,” katanya.

Seorang lagi pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai pak cik Din berkata, harga ayam yang dijual di pasar itu sudah melampaui batas.

“Saya tak nak beli ayam di sini sebab harganya mahal sangat. Anak saya yang duduk dekat Keramat cakap harga ayam di pasar Keramat RM6 sekilogram, kenapa di sini jual RM7 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, tinjauan yang dibuat di pasar Chow Kit dan pasar Keramat hari ini mendapati peniaga patuh dengan arahan kementerian dengan menjual ayam pada harga runcit siling iaitu RM6 sekilogram.

Semalam, tinjauan Bernama mendapati ayam di beberapa pasar seperti di Chow Kit dan Keramat dijual antara RM6.20 dan RM6.50 sekilogram.

Tiada ulasan: